SEPTEMBER 2022

Hala Tuju Penentu Kesejahteraan Rakyat, Negeri


LAWAS: Penubuhan Sayap Belia 1828 bertepatan dengan perjuangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) untuk meletakkan negeri Sarawak maju demi kesejahteraan rakyat.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, dalam hal ini, peranan belia amat penting bagi menentukan masa depan dan kehidupan yang sempurna.

“Selaras dengan slogan ‘Utamakan Sarawak’, Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) meletakkan harapan kepada belia bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih kepada kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada perasmian penangguhan Karnival Belia Excellence Lawas di Komplek Sukan Lawas, semalam.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pengangkutan, Dato Henry Sum Agong, Timbalan Pengerusi Belia 1828 Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) merangkap Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak dan ADUN Tupong Fazzrudin Abdul Rahman, Setiausaha Eksekutif Parti PBB Datuk Awang Bujang Awang Antek, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak merangkap Penasihat Karnival Belia Excellence Lawas Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa dan Residen Bahagian Limbang Sebi Abang.

Awang Tengah yang juga Timbalan Yang di-Pertua Parti PBB berkata, sehubungan itu belia perlu menggalas tanggungjawab untuk membantu memajukan negeri Sarawak supaya dalam keadaan stabil, makmur dan aman.

Hampir 1,000 belia dari persatuan dan pertubuhan terlibat dalam berbagai jenis sukan, permainan rakyat, persembahan pentas, gerai pamiran dan gerai jualan belia Lawas di Kompleks Sukan Lawas bermula 24 hingga 25 September. 

Pada majlis itu, turut ditampilkan ikon belia Lawas iaitu Exco Pergerakan Pemuda Parti PBB yang juga Ketua Pergerakan Pemuda Parti PBB N.81 Steve Lius dan Exco Pergerakan Pemuda Parti PBB, Mohd Nazrul Hisham Tengah daripada N.82 Bukit Sari.

Sumber dari : Jiwa Bakti